fb fb fb fb fb

Tenis ATP Terbuka Swiss: Cerundolo kejutkan Ruud

Foto REUTERS

GSTAAD, 19, Julai – Pemain Argentina, Juan Manuel Cerundolo mencipta kejutan besar dalam saingan Swiss Open apabila menyingkirkan pilihan utama, Casper Ruud dengan kemenangan 6-2, 1-6, 6-3 pada Jumaat.

Cerundolo, 23, yang kini berada di ranking ke-109 dunia, dilihat seakan kehilangan momentum selepas tewas set kedua dan servisnya dipatahkan dua kali berturut-turut pada permulaan set ketiga.

Namun, beliau bangkit luar biasa dengan meraih tiga break untuk menamatkan saingan Ruud, juara dua kali kejohanan itu (2021, 2022) – sekali gus menamatkan rentetan 10 kemenangan berturut-turut pemain Norway itu di Gstaad.

Cerundolo bakal berdepan wakil Peru, Ignacio Buse di separuh akhir selepas Buse menewaskan rakan senegara Cerundolo, Roman Andres Burruchaga 6-3, 3-6, 6-1.

Dalam aksi lain, pilihan kedua Alexander Bublik mara ke separuh akhir selepas menundukkan pemain Argentina Francisco Comesana 6-4, 6-3. Kemenangan itu melakar pencapaian peribadi buat Bublik yang kini mencapai 10 kemenangan di gelanggang tanah liat dalam satu musim buat kali pertama dalam kariernya.

Bublik akan bertemu pemain Perancis, Arthur Cazaux di separuh akhir selepas Cazaux menyingkirkan pemain tuan rumah, Jerome Kym dengan kemenangan 7-6(3), 3-6, 7-5.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD