BAGNERES-DE-LUCHON, 20 Julai - Pelumba Belanda, Thymen Arensman memberikan sinar buat pasukan Ineos Grenadiers yang dilanda kontroversi isu doping apabila memenangi peringkat ke-14 Tour de France dengan kayuhan solo mengagumkan merentasi laluan pergunungan sejauh 182.6 kilometer dari Pau ke Superbagneres, pada Sabtu.
Arensman, yang membuat pecutan dari kelompok pendahulu semasa pendakian Col de Peyresourde (7.1km pada 7.8%), berjaya mengekalkan jurang sehingga ke garisan penamat di pendakian akhir Superbagneres (12.4km pada 7.3%).
Ia sekali gus mencipta kemenangan pertama buat Ineos di Tour de France dalam tempoh dua tahun.
“Saya sendiri sukar percaya. Saya sakit selepas Giro, tapi persediaan ke Tour ini sangat baik.
"Saya sabar tunggu peluang di pergunungan – dan ini memang luar biasa,” kata Arensman yang beraksi buat kali pertama di kejohanan tersebut.
Pelumba UAE Team Emirates-XRG, Tadej Pogacar, mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan selepas menewaskan pencabar utama, Jonas Vingegaard, di belakang Arensman.
Pogacar turut mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan kelebihan 4 minit 13 saat ke atas Vingegaard, selepas menambah enam saat lagi dalam klasifikasi keseluruhan.
Sementara itu, pelumba Belgium, Remco Evenepoel yang memulakan hari di tempat ketiga, menarik diri daripada perlumbaan.
Namun, kejayaan Ineos itu sedikit tercemar apabila pasukan Britain itu berdepan tuduhan berkaitan doping yang melibatkan salah seorang kakitangan mereka.
Pasukan tersebut dilaporkan sedang disiasat susulan dakwaan mesej yang didakwa dihantar oleh kakitangan pasukan kepada seorang doktor yang terbabit dalam skandal doping, Operation Aderlass, pada 2012.
Skandal itu terbongkar pada 2019 dan melibatkan pemindahan darah secara haram di beberapa sukan termasuk berbasikal.
Doktor berkenaan, Mark Schmidt, telah dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah.
Ineos dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa mereka belum menerima sebarang pertuduhan rasmi daripada pihak berkuasa dan telah memohon penjelasan daripada Agensi Ujian Antarabangsa (ITA). - REUTERS