BRNO, 20 Julai - Pelumba Ducati, Marc Marquez menampilkan aksi luar biasa dalam saingan MotoGP musim ini apabila meraih kemenangan ke-11 dalam perlumbaan pecut di Grand Prix Czech pada Sabtu.
Namun, kemenangan itu hampir dibatalkan susulan siasatan berhubung pelanggaran peraturan tekanan tayar.
Marquez dan rakan sepasukannya, , Francesco Bagnaia terpaksa memperlahankan jentera masing-masing dan melepaskan kedudukan pertama serta kedua disebabkan tekanan tayar yang rendah atau berisiko menerima penalti lapan saat.
Juara dunia enam kali itu terpaksa melepaskan kedudukan selaku pendahulu kepada kepada pelumba KTM, Pedro Acosta.
Berbaki dua pusingan, Marquez kembali merampas kedudukan pendahulu sehingga tamat perlumbaan.
MotoGP kemudian mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Marquez, sekali gus mengesahkan kemenangannya yang ke-11 dalam perlumbaan pecut musim ini yang juga satu rekod baharu musim ini.
Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas kejuaraan dunia dengan 356 mata, meninggalkan adiknya Alex Marquez yang menghuni tempat kedua dengan 261 mata selepas hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 susulan permulaan yang hambar.
Sementara itu, juara bertahan Jorge Martin hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dalam penampilan semula pertamanya selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan paru-paru dan rusuk dalam kemalangan di Qatar April lalu. - AFP