fb fb fb fb fb

Tinju: Usyk kembali rampas tali pinggang Heavyweight dunia

Petinju Ukraine, Oleksandr Usyk/Foto REUTERS

LONDON, 20 Julai – Jaguh tinju Ukraine, Oleksandr Usyk mengukuhkan lagi statusnya sebagai legenda heavyweight apabila menewaskan pencabar dari Britain, Daniel Dubois, dengan tumbukan 'knockout' pada pusingan kelima dalam pertarungan sengit di Stadium Wembley malam Sabtu.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Usyk, 38, kembali bergelar juara heavyweight dunia buat kali kedua, sekali gus merampas semula tali pinggang IBF yang dilepaskannya tahun lalu.

Usyk kini mengekalkan rekod sempurna 24 kemenangan tanpa kalah dalam karier profesionalnya.

Pertarungan itu juga merupakan pertemuan semula antara kedua-dua petinju selepas kemenangan kontroversi Usyk di Krakow, Poland pada 2023, apabila Dubois tewas pada pusingan kesembilan susulan insiden pukulan rendah yang dipertikaikan.

Pada pertarungan berkenaan, Usyk membuktikan kehebatannya apabila mengawal tiga daripada empat pusingan pertama dengan kelebihan teknikal, sebelum menjatuhkan Dubois dua kali pada pusingan kelima melalui ‘pukulan menerusi tangan kanannya’, dan kemudian menyudahkan dengan tumbukan kiri tepat ke dagu.

“Saya tak ada motivasi. Saya ada disiplin. Motivasi itu sementara. Tapi disiplin ialah bila saya bangun pagi untuk berlatih, walau tak mahu, saya tetap lakukannya,” kata Usyk dalam sidang media selepas pertarungan.

“Saya berlatih tiga setengah bulan tanpa jumpa keluarga dan tinggal serumah dengan 14 orang dalam pasukan saya.

"Sekarang saya mahu pulang dan fikirkan langkah seterusnya. Tapi saya akan terus bertinju", ujar Usyk.

Usyk juga menyatakan rasa terhutang budi kepada United Kingdom, yang dianggapnya sebagai rumah kedua.

“Di sinilah saya menang semuanya, Kejuaraan Eropah, Sukan Olimpik London 2012, menang lawan Tony Bellew, Derek Chisora, Anthony Joshua, dan kini Dubois,” katanya.

“Saya sangat berterima kasih kepada negara ini", jelasnya.

Sementara itu, Promoter Dubois Frank Warren yang hadir ke sidang media menggantikan petinju berusia 27 tahun itu menegaskan bahawa karier anak buahnya masih belum berakhir.

“Lihat saja Frank Bruno, tiga kali gagal sebelum menjadi juara pada percubaan keempat.

"Daniel sudah pernah pegang tali pinggang dunia, saya yakin dia boleh bangkit,” katanya.

Warren turut memuji ketahanan Usyk yang terus cemerlang walaupun semakin berusia.

“Dia luar biasa. Pada usia 38 tahun, belum pernah kalah. Petinju seperti Usyk hanya muncul sekali dalam satu generasi,” ujar Warren. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD