fb fb fb fb fb

"Tolong kekal konsisten hingga Olimpik" - Hannah Yeoh

Hannah yakin Program Road to Gold (RTG) mampu mengukuhkan lagi pencapaian para pemain.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Susulan kejayaan beregu lelaki merangkul kejuaraan Badminton Masters Malaysia 2025 semalam.

Momentum kecemerlangan itu diharap dapat dikekalkan sehingga ke pentas Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Harapan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang yakin sokongan daripada program Road to Gold (RTG) mampu mengukuhkan lagi pencapaian mereka sehingga LA28.

"Hari semalam merupakan hari yang membanggakan untuk sukan badminton Malaysia. Jika kita lihat, prestasi atlet badminton negara, terutamanya beregu lelaki, semakin menunjukkan peningkatan. Saya percaya, dengan kehadiran jurulatih baharu dan sokongan daripada program Road to Gold (RTG), kita mampu terus memperkasakan pencapaian mereka.

"Harapan saya apabila kita ke Sukan Olimpik di Los Angeles nanti, kalau boleh, kedua-dua pasangan beregu Malaysia mara ke perlawanan akhir. Kita mahu menang emas , perak pun kita terima. Itulah harapan kita", katanya pada Pelancaran Kempen Video Kesedaran Belia Bebas Dadah di sini, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Axiata Arena itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun cipta kejutan dengan menumpaskan senior mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-12, 15-21 dan 21-16.

Mengulas mengenai pencapaian beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei yang bakal menduduki kedudukan nombor satu dunia, Hannah meluahkan rasa bangga dengan pencapaian dua pemain itu.

Sementara itu, beliau turut menyeru atlet badminton negara untuk terus berada di bawah bimbingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ini bagi membolehkan mereka menerima sokongan penuh daripada kerajaan, sama ada dari segi latihan mahupun kebajikan, berbanding bergerak secara profesional.

Hannah turut berharap Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dapat memberi perhatian khusus terhadap ekosistem badan induk sukan badminton itu bagi membantu para pemain terus berkembang.

"Kelebihan berada dalam BAM mereka ada rakan sepelatih yang bagus. Kalau mereka tempuh dekat luar ketiadaan rakan sepelatih boleh menjejaskan prestasi mereka.

"Itu sebab saya minta presiden BAM untuk bantu melihat ekosistem yang terbaik. Kalau boleh mereka tinggal dalam BAM supaya bantuan kerajaan sampai kepada mereka dan ada sistem yang tersusun untuk mereka", katanya.

JALALUDDIN BIN BAHARIN