fb fb fb fb fb

Rexy yakin beregu lelaki negara mampu tembusi 15 terbaik dunia

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky yakin barisan beregu lelaki Malaysia berpotensi menembusi kelompok 15 terbaik dunia dengan bimbingan ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

Menurut Rexy, sejak kehadiran Herry Februari lalu, beberapa pasangan beregu lelaki negara telah menunjukkan peningkatan peningkatan prestasi yang ketara, sekali gus memberi isyarat positif terhadap masa depan skuad beregu lelaki negara.

"Jadi, untuk era kali ini, saya berharap ia akan menjadi seperti era ketika saya pertama kali datang ke Malaysia. Pada waktu itu, kita sekurang-kurangnya mempunyai lima hingga enam pasangan dalam kelompok 15 terbaik dunia, malah ada yang dalam kelompok 10 terbaik," katanya.

"Saya berharap dengan kehadiran jurulatih kita yang berpengalaman ini, ia dapat membawa perubahan positif. Saya sendiri pernah dilatih oleh beliau, jadi saya tahu cara beliau melatih, dan saya amat positif dengan perkara ini," tambah Rexy.

Dalam masa sama, Rexy turut memuji pendekatan Herry yang berjaya membawa dimensi baharu dalam permainan beregu negara, termasuk aspek kawalan emosi, ketahanan fizikal dan kepantasan pergerakan di gelanggang.

Katanya, perubahan itu telah meningkatkan tahap keyakinan pemain dan akan menjadi faktor penting menjelang kejohanan utama yang bakal dihadapi pasukan negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD