MELAKA, 26 Mei – Ketiadaan pemain apit kanan negara, Mohamad Azlan Alias, akibat kecederaan tidak mematahkan semangat pasukan Melaka Titans untuk memberikan saingan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 yang akan membuka tirainya pada 28 Mei ini.
Mohamad Azlan, yang juga tonggak utama Melaka Titans, terpaksa direhatkan selama dua bulan selepas mengalami kecederaan semasa aksi final Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu.
Ketua Jurulatih Melaka Titans, Khairul Anuar Ibrahim, menjelaskan kehilangan Azlan tidak memberi kesan kepada perancangan pasukan kerana beliau optimis dengan kemampuan pemain lain yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Azlan.
“Azlan mengalami kecederaan dan dinasihatkan berehat dua bulan. Namun, saya percaya pemain-pemain lain mampu menyesuaikan diri dan mengisi kekosongan tersebut dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Khairul Anuar menjelaskan kebangkitan sukan sepak takraw kini semakin dirasai selepas kejayaan penganjuran Piala Asia 2025 baru-baru ini, yang memberikan impak positif terhadap populariti sukan itu, khususnya dalam kalangan rakyat Melaka.
"Kebangkitan sukan sepak takraw berada pada tahap yang sangat baik ketika ini, terutamanya selepas berlangsungnya Piala Asia baru-baru ini dan juga Piala Menteri Besar hari ini.
"Rata-rata penduduk Negeri Melaka menunjukkan minat yang tinggi dan memberikan impak besar terhadap perkembangan sukan takraw di negeri ini", katanya.
Pasukan Melaka Titans bakal memulakan kempen STL 2025 dengan barisan pemain campuran berpengalaman dan muka baharu, termasuk dua pemain import dari Thailand, Yodsanon Laemthaisong (apit kanan) dan Khathadet Srichan (tekong), di samping pemain kebangsaan Mohamad Syahir Mohamad Rosdi dan Muhammad Zaim Razali dari Pulau Pinang.