MELAKA, 26 Mei – Dua pemain import dari Thailand menjadi antara sandaran utama pasukan Melaka Titans untuk menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim 2025 yang dijangka lebih kompetitif.
Yodsanon Laemthaisong yang akan menggalas posisi apit kanan, serta Khathadet Srichan sebagai tekong, diumumkan sebagai antara tonggak utama skuad kendalian Khairul Anuar Ibrahim.
Kehadiran mereka dijangka memperkukuh pasukan yang menyasarkan untuk berada dalam kelompok terbaik liga musim ini.
Melaka Titans turut diperkuatkan dengan dua pemain kebangsaan iaitu Mohamad Syahir Mohamad Rosdi dan Mohamad Azlan Alias. Mohamad Syahir akan bertindak sebagai Tekong, manakala Mohamad Azlan mengisi posisi Apit Kanan, menjadikan formasi pasukan lebih mantap dari segi pengalaman dan taktikal.
Pasukan tersebut juga menampilkan wajah baharu iaitu Muhammad Zaim Razali dari pasukan Pulau Pinang yang akan bermain di posisi apit kiri, selain mengekalkan barisan pemain sedia ada seperti Adam Ameerul Khairul Anuar, Muhammad Asyraf Zawawi dan Muhammad Danial Zakwan Mohd Hairol.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan tersebut untuk bersaing dengan lebih agresif dan konsisten dalam musim baharu STL kali ini.