fb fb fb fb fb

Kecederaan paksa Nor Farah Ain tarik diri kejohanan Terbuka Australia

Nor Farah Ain menaruh harapan untuk kembali cergas sepenuhnya menjelang Kejohanan Piala Dunia Boling Padang di Malaysia, November ini.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pemain boling padang nombor satu dunia, Nor Farah Ain Abdullah terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Australia bulan depan ekoran kecederaan bahu kanan.

Atlet berusia 25 tahun itu memerlukan tempoh pemulihan sekurang-kurangnya enam minggu untuk kembali cergas.

"Sepatutnya di Australia tapi saya tidak dapat main sebab cedera. Saya perlu direhatkan dan akan kembali lebih kuat," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Video Kempen Kesedaran Belia Bebas Dadah di sini.

Nor Farah juga menaruh harapan untuk kembali cergas sepenuhnya menjelang Kejohanan Piala Dunia Boling Padang yang akan berlangsung di Malaysia, November ini.

Beliau bagaimanapun optimis masih mampu mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Bagi saya ranking akan turun naik. Apabila saya tidak menyertai kejohanan, kedudukan itu akan jatuh. Bagi saya masih dalam kelompok lima terbaik kira okey lagi, sebab ranking itu boleh lagi naik," ujarnya.

Setakat ini, Nor Farah kekal mendahului ranking dunia dengan 723 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Scotland, Julie Forrest (683 mata) dan Kelsey Cotterell dari Australia (676 mata).

JALALUDDIN BIN BAHARIN