KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) komited menjadikan kejohanan Liga Ragbi Terengganu (LRT) sebagai medan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan.
Menurut pengarah kejohanan, Noor Hafidz Mohd Nor, meski jumlah pasukan yang menyertai tidak seperti jumlah pasukan di negeri lain, ia tetap memberi kelebihan buat PRNT untuk fokus dalam usaha menilai bakat pemain.
Malah ia kesempatan terbaik bagi membentuk pasukan negeri menjelang Kejohanan Piala Agong akan datang.
“Tahun ini ada 5 pasukan yang bertanding. Bagaimanapun dengan kuantiti sedia ada, kami yakin dapat menghasilkan kualiti yang diinginkan dan setara untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tambah Hafidz, pihaknya turut giat mempromosikan sukan ragbi di negeri pantai timur itu serta tidak menolak kemungkinan penambahan penyertaan pasukan pada edisi akan datang.
Dalam pada itu, Hafidz yang juga pengerusi pengadil negeri berkata, liga yang kini sedang berlangsung turut memberi peluang kepada pengadil ragbi negeri itu bagi mengasah kemahiran serta pengetahuan mereka dalam dunia kepengadilan sukan ragbi.
Ini bersesuai dengan perubahan dan kehendak yang ditetapkan World Rugby (WR) dalam kejohanan-kejohanan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Kejohanan yang berlangsung dari 16 Mei hingga 20 Jun itu, menyaksikan 5 pasukan bertanding bagi merebut kejuaraan liga edisi ke 3 tahun ini. Ia melibatkan pasukan SESMA OB, MARANG, KEMAMAN, RMP dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Kesemua perlawanan berlangsung di Sekolah Menengah Teknik Terengganu dan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Kuala Nerus.