LONDON, 31 Mei- Todd Boehly yang kini merupakan pemilik baharu Chelsea, berjanji akan terus mengekalkan sejarah gemilang pasukan itu.
Pemilik dari Amerika Syarikat itu berjaya melengkapkan pembelian kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan semalam.
Konsortium yang diketuai Boehly bersetuju membeli Chelsea dengan harga £4.25 bilion pada 7 Mei dan penjualan itu kini secara rasmi dimeterai.
Jelas Boehly, pihaknya amat berbangga menjadi ahli keluarga baharu Kelab Bolasepak Chelsea dan akan memberi komitmen penuh untuk terus menjadikan The Blues antara kelab digeruni di dunia.
(Pemilik baharu Chelsea, Todd Boehly /AFP)
Pengambilalihan oleh Boehly menamatkan penguasaan 19 tahun oleh bilionair Rusia, Roman Abramovich sebagai pemilik Chelsea.
Pemilik bersama kelab besbol Los Angeles Dodgers itu mahu mengulangi kejayaan Chelsea pada era Abramovich termasuk menang lima gelaran liga dan dua Liga Juara-Juara daripada 19 trofi utama kelab itu.
Abramovich terpaksa melepaskan kelab tersebut selepas menerima pelbagai sekatan susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Feb lalu. -AFP