fb fb fb fb fb

TMJ perkenan Johor jadi tuan rumah bola sepak Sukan SEA 2027

Foto RTM

ISKANDAR PUTERI, 1 Disember-Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan bagi menjadikan Johor sebagai tuan rumah bagi acara sukan bola sepak, Sukan SEA 2027.

Perkara itu dimaklumkan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Mohd Hairi Mad Shah selepas mengadap baginda Khamis lepas. 

"Di atas nasihat dan pandangan Menteri Besar dan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, maka baginda berkenan untuk mengadakan sukan bola sepak Sukan SEA 2027 di Negeri johor.

"Walau bagaimanapun sepertimana saya katakan padang yang kita tetapkan itu kita menunggu kedua-dua pihak mengadakan perbincangan iaitu pihak Sekteriat Sukan SEA 2027", katanya demikian selepas Persidangan Dewan Negeri Johor di sini.

Sebelum ini, pihaknya mencadangkan beberapa stadium sebagai lokasi acara sukan berkenaan termasuklah Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Empat lokasi dikenal pasti termasuklah SSI; Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin; Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD