fb fb fb fb fb

Conte kekal realistik di sebalik permulaan cemerlang Napoli

Ketua jurulatih Napoli, Antonio Conte/ Foto REUTERS

NAPLES, 30 November-Ketua jurulatih Napoli, Antonio Conte, memuji kecemerlangan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya musim ini, namun menegaskan masih terlalu awal untuk berasa selesa meskipun mereka kini mendahului Serie A dalam saingan kejuaraan yang semakin sengit.

Conte, yang telah memenangi empat gelaran Serie A sebelum ini, mengambil alih Napoli pada Jun lalu selepas pasukan itu menamatkan musim sebelumnya di tangga ke-10.

Musim ini, Napoli mengumpul 29 mata daripada 13 perlawanan, satu mata mengatasi Atalanta, Inter Milan, Fiorentina, dan Lazio yang berada di kedudukan kedua hingga kelima. Juventus pula di tangga keenam dengan 25 mata.

“Kita perlu realistik kerana ini baru hari ke-13, dan terdapat enam pasukan dalam jarak beberapa mata.

"Liga ini masih seimbang setakat ini, tetapi saya tidak rasa ia akan kekal begitu hingga ke penghujung musim,” kata Conte kepada pemberita pada Jumaat.

“Menjelang penghujung separuh pertama musim, senarai pencabar akan mula berkurangan.

"Namun, kami gembira kerana ini menunjukkan usaha kami berjalan dengan baik.

"Saya melihat perkembangan yang berterusan, baik sebagai pasukan mahupun individu,” tambahnya.

Napoli akan berkunjung ke Torino, pada Ahad.

Conte menjangka perlawanan sukar menanti Napoli.

“Torino adalah pasukan yang penuh dengan kualiti. Mereka berada di pertengahan liga walaupun sudah lama tidak menang.

"Saya tinggal di Turin, hampir setiap Ahad saya berpeluang menonton perlawanan mereka, dan saya tahu ia adalah persekitaran yang mesra, hangat, dan penuh semangat,” jelasnya.

“Kita perlu menghadapi perlawanan ini dengan cara yang betul, dengan menghormati kualiti lawan, suasana di sana, dan sejarah mereka,” tambah Conte.

Napoli kini berusaha mengekalkan rentak cemerlang mereka dalam saingan yang semakin mencabar, dengan harapan untuk kembali menguasai Serie A selepas beberapa tahun bergelut.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD