fb fb fb fb fb

Nistelrooy dilantik sebagai pengurus baharu Leicester City

Ruud Van Nistelrooy dilantik sebagai pengurus baharu Leicester City / Foto REUTERS

LONDON, 30 November- Leicester City telah melantik Ruud Van Nistelrooy sebagai pengurus baharu kelab berkenaan menggantikan Steve Cooper yang dipecat susulan prestasi buruk kelab berkenaan.

Nistelrooy mengikat kontrak bersama kelab tersebut sehingga Jun 2027 menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Jumaat.

Kelab yang dijuluki sebagai 'The Foxes' itu kini berada dalam situasi getir selepas menduduki tangga ke-16, dua mata daripada zon penyingkiran.

Keadaan berkenaan memaksa Leicester City melantik Nistelrooy sebagai pengendali baharu bagi mengubah nasib pasukan berkenaan sekali gus kekal di Liga Perdana Inggeris.

Nistelrooy sebelum ini merupakan penolong pengurus Manchester United sebelum berperanan sebagai pengurus sementara pasukan berkenaan susulan pemecatan Erik ten Hag bulan lepas.

"Saya berbangga, saya teruja. Setiap individu yang saya temui dan berbicara tentang kelab Leicester City yang sentiasa menunjukkan semangat yang tinggi," kata Van Nistelrooy, pengendali baharu kelab itu, dalam satu kenyataan.

"Mereka mempunyai cerita-cerita hebat tentang kualiti tenaga kerja di kelab ini, para penyokong, dan sudah tentu sejarah terkini kelab yang sangat mengagumkan," tambah beliau.

Leicester mencipta sejarah gemilang dengan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim 2015-2016.

Bagaimanapun, mereka diturunkan ke Liga Kejuaraan pada tahun 2023 sebelum bangkit semula ke Liga Perdana di bawah bimbingan Enzo Maresca. Maresca kemudiannya meninggalkan kelab untuk menyertai Chelsea.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD