MADRID, 20 Mei – Mahkamah di Valencia menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas tiga penyokong Valencia kerana menghina pemain Real Madrid, Vinicius Junior secara perkauman.
Ini menjadikan sabitan pertama seumpamanya dalam sejarah bola sepak Sepanyol.
Ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah atas kesalahan terhadap integriti moral iaitu diskriminasi berasaskan kaum.
Mereka turut dikenakan larangan dua tahun daripada menghadiri perlawanan bola sepak. Bagaimanapun, hukuman penjara mereka digantung kerana tiada rekod jenayah lampau.
Presiden La Liga, Javier Tebas menyifatkan keputusan itu sebagai "berita baik dalam memerangi perkauman di Sepanyol", serta memberi amaran bahawa La Liga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melemparkan kata-kata berbaur perkauman di stadium.
Insiden itu berlaku pada 21 Mei 2023 ketika Real Madrid menentang Valencia di Stadium Mestalla.
Permainan dihentikan selepas Vinicius menunjuk ke arah penyokong yang mengejeknya dengan suara dan isyarat seperti monyet.
Real Madrid memfailkan aduan jenayah dan tiga individu berusia muda ditahan beberapa hari kemudian atas kesalahan kebencian.
Ketiga-tiganya kemudian mengaku salah dan menghantar surat permohonan maaf kepada Vinicius, Real Madrid serta semua pihak yang terkesan.
Vinicius telah berulang kali menjadi mangsa ejekan perkauman sejak menyertai Real Madrid pada 2018, termasuk kejadian patung menyerupainya digantung di jambatan berhampiran pusat latihan pada Januari 2023.