TBILISI, 20 Mei - Malaysia berjaya membawa pulang pingat perak di Caucasus Cup 2025, kejohanan dibawah seliaan World DanceSport Federation (WDSF).
Atlet muda, Bernice Iu Weng Tong cemerlang dalam acara WDSF Solo Latin Wanita Dewasa melakar kejutan membawa pulang perak.
Ini adalah penampilan sulung beliau di pentas solo antarabangsa dan persembahannya bertenaga menerima pujian meluas daripada para juri dan penonton, menjadikannya salah seorang bintang baharu paling menyerlah dalam dunia Dancesport.
Rakan sepasukannya, Cherry Yeo Xiao Wei, juga berjaya menamatkan saingan di tempat ke-6. Namun begitu, kedudukan Cherry di ranking nombor dua dunia tidak berubah dengan 856 mata.
“Kemenangan Bernice di podium membuktikan potensinya dan kami menjangkakan lebih banyak pencapaian cemerlang daripadanya. Prestasi merudum Cherry pula seperti mana-mana atlet yang pasti akan melalui fasa itu dalam karier mereka. Faktor utama adalah jadual akademiknya yang padat di London. Cherry berhasrat untuk menyesuaikan jadualnya dan sanggup berlatih hingga lewat malam selepas kelas sebagai alternatif untuk mengembalikan prestasinya.”” kata jurulatih kebangsaan Chua Zjen Fong.
Kejayaan ini hadir tepat pada waktunya menjelang Kejohanan WDSF Malaysia Open Dancesport kali ke-4, yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini di Kuala Lumpur.