fb fb fb fb fb

Tiga pemain import jadi taruhan THT sasar gelaran trebel musim ini

(Majlis Pelancaran jersi musim baru THT dan memperkenalkan pemain dan penaja bertempat di Hotel Permai, Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam/FOTO Facebook UPDI)

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Tiga pemain import Korea Selatan menjadi taruhan Terengganu Hockey Team (THT) bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Mereka terdiri daripada Choi Hoil, Yoo Seung Ho dan Jang Jonghyun; bintang hoki Korea Selatan yang berpengalaman beraksi di pentas Olimpik.

Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun berkata, sandaran turut diletakkan kepada ketua jurulatih hoki baharu THT, Seo Jongho.

Jongho berpengalaman luas dan pernah menggalas tugas sebagai penolong jurulatih THT untuk menerajui pasukan.

THT turut diperkuatkan 4 pemain kebangsaan yang kini sedang beraksi di Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 di India, iaitu Muhammad Marhan Jalil, Shello Silverius, Faizal Saari dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

"Kita diberitahu oleh barisan kejurulatihan ia merupakan satu impak yang bagus terutamanya bagi pemain yang muda daripada Korea, yang mana pemain Korea ini nanti akan diserap masuk bersama pasukan senior setelah piala dunia tamat dan salah seorang daripada mereka merupakan antara flicker terbaik remaja di korea," katanya pada majlis pelancaran jersi, memperkenalkan penaja dan pemain sempena MHL 2023 di sini semalam.

THT turut menyasarkan untuk meraih gelaran trebel musim ini.

(Majlis Pelancaran jersi musim baru THT dan memperkenalkan pemain dan penaja bertempat di Hotel Permai, Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam/FOTO Facebook UPDI)

Dalam pada itu, pasukan hoki wanita Terengganu, Terengganu Ladies Hockey Team-Majlis Sukan Negeri Terengganu (TLHT-MSNT) akan kembali mewarnai saingan MHL selepas dua tahun menyepi.

Tiada sasaran tinggi diletakkan, namun penyertaannya akan memberi pendedahan kepada atlet muda.

Sementara itu, Kerajaan Negeri turut menyumbang suntikan dana sebanyak RM2.5 juta kepada Persatuan Hoki Negeri Terengganu pada tahun ini.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan RM500,000 berbanding tahun lalu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Wan Sukari Wan Abdullah berkata, penambahan itu bagi menampung perbelanjaan akademi pembangunan hoki negeri yang baru ditubuhkan.

Selain untuk penganjuran sebuah kejohanan bertaraf antarabangsa pada 9 Ogos nanti.

"Pada tahun ini juga, program melalui Akademi Pembangunan Sukan Hoki ditubuhkan dan Insya-allah kita mengharapkan dengan suntikan tambahan kewangan daripada negeri ini dapat merealisasikan hasrat Terengganu untuk muncul sebagai pasukan yang paling disegani dan digeruni dalam konteks negara kita," katanya.

Media Baharu