fb fb fb fb fb

Tiga pasukan liga super perlu kemuka venue alternatif sepanjang Ramadan - MFL

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd/foto Bernama

KELANA JAYA, 24 Julai -Tiga pasukan Liga Super Kelantan Darul Naim (KDN) FC, DPMM FC dan Imigresen FC diminta untuk mencadangkan venue baharu bagi perlawanan di gelanggang sendiri sepanjang bulan Ramadan yang akan datang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, memaklumkan ketiga-tiga kelab terbabit telah diarahkan supaya mengemukakan cadangan venue alternatif selewat-lewatnya pada 15 Ogos ini.

Langkah ini diambil susulan venue utama KDN FC, iaitu Stadium Sultan Muhammad IV, serta Stadium Nasional Hassanal Bolkiah milik DPMM FC, tidak dapat digunakan dalam tempoh tersebut.

"Pihak kami telah memaklumkan kepada ketiga-tiga pasukan iaitu DPMM FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Imigresen FC berhubung keperluan untuk menyediakan venue alternatif bagi perlawanan yang dijadualkan sepanjang bulan Ramadan. Berdasarkan jadual yang telah dikeluarkan, ketiga-tiga kelab ini dijadualkan beraksi sebagai pasukan tuan rumah dalam tempoh tersebut.

"Seperti yang sedia maklum, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tidak dapat digunakan sepanjang bulan Ramadan. Situasi yang sama turut dihadapi oleh DPMM FC dan Imigresen FC memandangkan venue rasmi mereka tidak sesuai untuk penganjuran perlawanan pada waktu malam.

"Sehubungan itu, kami telah menyarankan agar ketiga-tiga pasukan terbabit mengambil inisiatif untuk menyediakan venue alternatif yang bersesuaian, sebagai langkah mengelakkan keperluan menjadualkan semua perlawanan mereka di tempat lawan sepanjang bulan Ramadan." katanya selepas Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik MFL dan Genius Sports di sini, hari ini.

AZRUL FAIZAL JUSOH