KUALA LUMPUR, 24 Julai - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kesal dan memandang serius bendera Jalur Gemilang didakwa dipangkah dan dikibarkan secara terbalik oleh penyokong Indonesia ketika aksi Piala ASEAN bawah 23 tahun (B-23) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Isnin lepas.
Insiden itu didakwa berlaku ketika Indonesia menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata pihaknya telah berhubung dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bagi mendapatkan pandangan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami tidak menyokong sebarang tindakan seperti ini, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Namun begitu, kami sedang berurusan dengan AFC dan AFF berkenaan tindakan susulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran saingan liga bola sepak wanita utama negara, Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tangkap layar mengenai Jalur Gemilang yang dipangkah dan dipegang secara terbalik oleh penyokong Indonesia sewaktu aksi melibatkan skuad muda kedua-dua negara tersebut telah tular di laman sosial.
Sementara itu, Joehari mengesahkan pihaknya akan berbincang dengan peguam FAM bagi mengambil tindakan lanjut terhadap pemerhati bola sepak luar negara yang mendakwa Malaysia digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sehingga tahun 2027.
Pemerhati tersebut, menerusi siaran sebuah podcast, menuduh FAM kerana menurunkan pemain yang tidak jelas susur galur keturunannya untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Malaysia sebelum ini diperkuatkan dengan kehadiran tujuh pemain warisan baharu termasuk Facundo Garces, Joao Figueiredo, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado.- BERNAMA