fb fb fb fb fb

Pengadil Malaysia dipilih ke Piala Dunia B-20 di Chile

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 24 Julai -Pengadil elit negara Muhammad Nazmi Nasaruddin sekali lagi mencipta sejarah apabila terpilih mengadili perlawanan di pentas antarabangsa, kali ini di Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2025 yang dijadual berlangsung di Chile dari 27 September hingga 19 Oktober ini.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dua lagi pengadil tempatan Muhammad Zairul Khalil Tan dan Mohamad Mu’azi Zainal Abidin turut disenaraikan sebagai penolong pengadil bagi membantu Nazmi sepanjang kejohanan berprestij itu.

“FAM merakamkan ucapan tahniah kepada trio pengadil Malaysia atas pemilihan ini mendoakan agar mereka dapat melaksanakan tugasan dengan cemerlang di kejohanan itu nanti.

"Kepimpinan tertinggi FAM juga mengucapkan penghargaan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas kepercayaan yang diberikan kepada barisan pengadil Malaysia.

"Ia adalah satu penghormatan dan pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan FAM dalam memartabatkan mutu pengadilan negara di peringkat global," menurut kenyataan badan induk itu, hari ini.

Terdahulu, Nazmi turut disenaraikan sebagai ‘FIFA World Cup Candidate 2026’, menjadikannya antara calon utama untuk dipertimbangkan sebagai pengadil pada Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Nazmi juga mencatat sejarah apabila menjadi pengadil Malaysia pertama yang mengendalikan perlawanan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (ACL) yang menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagi memastikan persediaan mereka berada pada tahap terbaik, FAM memaklumkan pelbagai langkah proaktif telah diambil, termasuk perancangan latihan perlawanan dan sokongan kepakaran teknikal.

Kejohanan di Chile ini juga dilihat sebagai medan penting buat Nazmi untuk menonjolkan kewibawaan sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk mencipta sejarah sebagai pengadil utama pertama dari Malaysia di Piala Dunia 2026.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH