fb fb fb fb fb

Tiga lagi beregu negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura

Foto Facebook BAM

SINGAPURA, 29 MEI - Tiga lagi beregu negara meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Juara Masters Malaysia, Man Wei Chong - Tee Kai Wun, meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan mudah dalam masa hanya 34 minit, menundukkan gandingan China, Huang Di - Liu Yang, dengan keputusan straight set 21-16, 21-16.

Sementara itu, wakil tunggal beregu wanita negara, Pearly Tan - M. Thinaah, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima - Mayu Matsumoto, dalam masa 46 minit.

Gandingan yang kini berada di ranking keempat dunia itu akan menanti pemenang perlawanan antara pasangan China, Jia Yifan - Zhang Shuxian, dan pasangan India, Treesa Jolly - Gayatri Gopichand Pullela, bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Dalam perkembangan sama, beregu lelaki negara, Aaron Chia - Soh Wooi Yik, mempamerkan aksi bertenaga apabila menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki - Yugo Kobayashi.

Pasangan yang berada di ranking ketiga dunia itu mencatat kemenangan dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama tiga set, dengan keputusan 21-18, 24-26, 21-12, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Kemenangan ini menyaksikan mereka bakal bertemu rakan sepasukan, Man Wei Chong - Tee Kai Wun, dalam aksi suku akhir esok.

Dalam pada itu, Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, mencipta sensasi di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila menewaskan pemain utama Indonesia, Jonatan Christie, untuk melangkah ke suku akhir.

Jun Hao bermula agresif dalam set pertama dengan aksi bertenaga, menutup set itu dengan kemenangan meyakinkan 21-16.

Jonatan bangkit memberi saingan sengit dalam set kedua, namun Jun Hao tidak goyah dan terus mempamerkan aksi cemerlang di gelanggang.

Hasilnya, pemain nombor 15 dunia itu mengesahkan kemenangan straight set 21-19, dalam perlawanan yang berlangsung selama 53 minit.

Cabaran lebih besar menanti di suku akhir apabila Jun Hao bakal berentap dengan pemain kedua dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN