fb fb fb fb fb

Perlis buat persediaan awal hadapi saingan sukan ragbi SUKMA 2026

Foto Persatuan Ragbi Perlis

ARAU, 28 Mei - Persatuan Ragbi Perlis mengorak langkah awal dalam mempersiapkan skuad bawah 23 tahun negeri itu bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.

Oleh itu, penganjuran Kejohanan Ragbi Takaful Ikhlas Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan (Perlis Royal 7s), yang bakal diadakan pada 31 Mei hingga 1 Jun ini, dilihat sebagai medan terbaik bagi memilih pemain berpotensi untuk diketengahkan.

Menurut Pengarah Kejohanan, Mohd Hafiz Zainon, kejohanan kompetitif seperti Perlis Royal 7s, platform sesuai menguji kebolehan dan keupayaan pemain dari segi ketahanan fizikal dan mental.

" Penyertaan pasukan antarabangsa khususnya dari negara ASEAN termasuklah dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina menjadi keistimewaan bagi edisi kali ini. Kesemua pasukan telah mengesahkan kehadiran mereka dan pasti memberi impak kepada kejohanan kali ini.’’ Jelas Mohd Hafiz ketika sidang media pra-kejohanan di Arau.

Tambahnya, sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan pada kejohanan yang masuk edisi ke-6 tahun ini dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

Semua pertandingan bakal berlangsung di Padang B Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra serta Stadium Tuanku Syed Putra dengan 10 pasukan bagi setiap kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita dan Bawah 20 Tahun melibatkan penyertaan sebanyak 30 pasukan.

Ia dianjurkan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan dan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta menjadi salah satu tarikan sempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN