PUTRAJAYA, 12 Disember - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM100 juta bagi tiga dana sukan utama di bawah Belanjawan 2026, kata Menterinya, Hannah Yeoh.
Daripada jumlah itu, RM50 juta disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), manakala RM30 juta diperuntukkan untuk Geran Padanan Sukan (GPS).
Sementara itu, RM20 juta lagi diagihkan melalui Dana Sukan Komuniti (DSK).
Dalam sidang media di Menara KBS hari ini, Hannah menjelaskan bahawa GPS akan memberi tumpuan kepada penganjuran pertandingan sukan berimpak tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Untuk Geran Padanan Sukan, ia akan digunakan untuk penganjuran pertandingan sukan prestasi tinggi dan impak tinggi,” katanya.
Bagi DSK, Hannah berkata keutamaan diberi kepada persatuan sukan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta kelab-kelab belia berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
“Dana Sukan Komuniti akan diberikan keutamaan kepada persatuan sukan yang berdaftar dengan PJS atau kelab belia berdaftar dengan ROY,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah menegaskan bahawa KBS dan agensi-agensi di bawahnya tidak mengenakan sebarang caj atau komisen bagi permohonan mana-mana dana tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada individu dilantik sebagai pihak ketiga, dan semua permohonan mesti dibuat terus kepada KBS bagi memastikan ketelusan.
Maklumat terperinci termasuk terma, syarat serta jadual permohonan akan disiarkan di laman web rasmi KBS mulai 15 Disember.