OSAKA, 2 September- Tiga beregu negara berjaya tempah tiket ke suku akhir Badminton Terbuka Jepun.
Mereka terdiri daripada dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei serta beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke suku akhir Terbuka Jepun selepas menyingkirkan lawan dari Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dalam pertarungan tiga set.
Pada aksi yang berlangsung di Maruzen Intec Arena, Osaka itu Kian Meng- Pei Jing terlebih dahulu dikejutkan lawan mereka 14-21 di set pertama.
Namun, pasangan negara bangkit dengan aksi lebih kemas di set kedua untuk menang 21-11 sekali gus memaksa permainan diteruskan ke set ketiga.
Dalam set penentuan, Kian Meng-Pei Jing terus dicabar hebat oleh beregu dari Taiwan sehingga terikat 15 sama.
Pilihan ketujuh kejohanan itu kemudian berjaya mengekalkan ketenangan dan mengatasi tekanan dengan baik untuk menutup set tersebut dengan kejayaan 21-15.
Di suku akhir nanti, mereka bakal berdepan beregu dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.
Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan bertemu lawan dari Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho manakala Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei pula akan berentap menentang pasangan beregu pilihan kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong yang akan berlangsung hari ini.
(FOTO BAM)