fb fb fb fb fb

Dua wira badminton negara akan terima habuan tambahan

SEPANG, 1 September - Dua wira badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menerima insentif tambahan daripada kerajaan atas kejayaan mereka merangkul gelaran dunia sulung buat Malaysia, baru-baru ini. 

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


(Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui media di sini)

Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal, ganjaran khas itu merupakan tambahan kepada habuan RM20,000 seorang di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah habuan berkenaan.

"Tapi kita merasakan, ini kejayaan pertama anak malaysia di pentas kejohanan badminton dunia, maka tentunya kbs (kementerian belia dan sukan) akan memastikan ganjaran atau sumbangan selain daripada shakam akan diberikan kepada mereka. Kita akan bagi lebih, tapi jumlahnya saya tidak akan umumkan sekarang… kita nak mereka menang berkali-kali," katanya pada sidang media selepas menyambut kepulangan Aaron-Wooi Yik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ahad lalu, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah sebagai pasangan pertama Malaysia memenangi gelaran dunia selepas 45 tahun dengan menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada final di Tokyo, Jepun.

Sebelum ini, beregu ranking kelima dunia itu bakal menerima insentif RM150,000 seorang daripada Persatuan Badminton Malaysia dan RM50,000 seorang daripada penaja Yonex.

Media Baharu