SILVERSTONE, 7 Julai– Pelumba McLaren, Lando Norris melakar satu lagi sejarah dalam karier Formula Satu (F1) apabila memenangi Grand Prix British di hadapan penyokong sendiri.
Norris menyifatkan kemenangan tersebut sebagai impiannya sejak kecil dan pencapaian paling berharga selepas kejuaraan dunia.
Kemenangan di Silverstone itu merupakan kemenangan keempat musim ini buat pelumba McLaren berusia 24 tahun itu, yang kini hanya lapan mata di belakang rakan sepasukan dari Australia, Oscar Piastri, dalam perebutan kejuaraan dunia F1.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba Kick Sauber, Nico Hulkenberg menduduki tempat ketiga. Manakala pelumba Ferrari, Lewis Hamilton di tempat keempat.
Namun bagi Norris, angka bukanlah segalanya pada hari penuh emosi itu.
“Selain daripada menjadi juara dunia, ini adalah yang terbaik dari segi perasaan, pencapaian, rasa bangga dan semuanya,” kata Norris kepada bekas juara dunia 2009, Jenson Button.
“Di sinilah semuanya bermula bagi saya, menonton kamu di televisyen bertahun-tahun dulu. Dan kini, syukur, saya pula berada di sini", ujar Norris.
Norris menamatkan perlumbaan penuh bergaya sambil mengakui bahawa dua pusingan terakhir adalah detik yang cuba dinikmatinya sepenuhnya.
“Saya hanya pandang ke arah penonton. Saya mahu simpan memori ini, dan mungkin ia tak akan berlaku lagi. Saya harap berlaku lagi, tapi saya akan bawa detik ini selamanya.”
Selepas mengecapi kemenangan di Monaco yang dianggapnya sebagai mimpi zaman kanak-kanak, kejayaan di Silverstone dianggap "satu tahap lebih tinggi".
Ia bukan sahaja kerana ia tanah air sendiri, tetapi juga kerana sokongan padu daripada penyokong yang mengisi ‘Landostand’, kawasan khas buat peminat setianya.
“Saya tak menangis, saya hanya senyum. Ini kebahagiaan yang tulen,” katanya ketika ditanya mengenai reaksinya selepas memenangi perlumbaan dan memeluk ibunya.
“Saya harap saya boleh menangis kerana itu lebih cantik dalam gambar. Tapi saya hanya tahu senyum sahaja.”
Norris turut menyatakan rasa bangganya menyertai senarai juara British di Silverstone, termasuk Lewis Hamilton yang mencatat rekod 9 kemenangan di litar itu.
“Saya telah menyertai senarai pemenang yang luar biasa, kebanyakannya Lewis,” katanya sambil tertawa.
“Tapi untuk menyambung legasi pelumba British di sini... ia sangat luar biasa", jelasnya.
Beliau menyifatkan detik melihat penonton berdiri dan bersorak dalam dua pusingan terakhir sebagai saat yang hanya dapat dirasai oleh segelintir pelumba iaitu sesuatu yang tidak dapat dirakam oleh kamera mahupun dihayati oleh orang biasa.
“Ia adalah momen yang sangat peribadi, sangat istimewa. Mungkin bukan kemenangan paling hebat saya dari segi perlumbaan, tetapi dari sudut emosi dan makna ini yang paling besar", jelasnya.-REUTERS.