(Mohamad Eizlan Dahalan (kiri)/FOTO FAIL BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 12 Februari- Atlet lompat tinggi negara Mohamad Eizlan Dahalan mungkin boleh berbangga apabila mengungguli Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil hari ini.
Namun, pencapaian atlet kelahiran Tawau, Sabah berusia 23 tahun itu dengan lompatan setinggi 2.05 meter untuk meraih pingat emas pada kejohanan tersebut gagal mengatasi rekod terbaiknya 2.18m ketika memenangi gangsa pada Sukan SEA di Vietnam, tahun lepas.
Catatan tersebut sekali gus meresahkan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menjelang Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei depan.
Ketika ditemui pemberita, Mohamad Eizlan mengakui ketiadaan jurulatih tetap membimbingnya di Sabah membantutkan hasrat beliau melakukan lompatan terbaik sekali gus memperbaharui rekod peribadinya.
“Saya memang berada dalam Program Podium, namun disebabkan saya belajar di Universiti Malaysia Sabah, tiada jurulatih tetap di sana (Sabah). Memang agak sukar untuk melakukan latihan sendiri sebab itu saya merasakan jurulatih sangat penting untuk bimbing saya.
(Atlet lompat tinggi lelaki negara Nauraj Singh Randhawa (kiri) dan Mohamad Eizlan Dahalan (kanan)
masing-masing menunjukkan pingat perak dan pingat gangsa (Mohamad Eizlan)/FOTO FAIL BERNAMA)
“Ketika saya berada di Kuala Lumpur, bekas jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei melatih saya, dia (Hup Wei) juga bimbing saya ketika persediaan ke Sukan SEA Vietnam,” katanya.
Mohamad Eizlan memaklumkan beliau akan hanya menjalani latihan sepenuh masa bersama jurulatih di Kuala Lumpur bermula bulan depan selepas pengajiannya dalam semester keempat Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Sosiologi) berakhir pada 20 Februari ini.
Mohamad Eizlan yang berada dalam Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) kini berada dalam kategori B untuk temasya dwitahunan itu.
Namun, beliau berpeluang untuk merebut slot kelayakan kategori A sekiranya menyertai Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada minggu hadapan dan melakukan lompatan melepasi 2.10m untuk layak secara merit ke temasya di Phnom Penh, Kemboja itu.
Mohamad Eizlan, bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan menyertai kejohanan tersebut atau sebaliknya.
Dalam saingan hari ini, rakan sepasukannya Farell Glen Felix Jurus menduduki tempat kedua setelah merekodkan lompatan setinggi 2 meter manakala atlet Johor Norshafiee Mohd Shah, yang turut mencatat 2 meter di kedudukan ketiga. -BERNAMA