fb fb fb fb fb

Daerah Jempol berpotensi sebagai pusat sukan permotoran

JEMPOL, 13 Februari- Daerah Jempol, Negeri Sembilan dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat sukan permotoran.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata beberapa program berkaitan sukan permotoran yang dilaksana di daerah itu didapati sesuai dengan trek yang digunakan.

Penganjuran program seumpama itu dapat menjadi platform untuk melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran, selain dijadikan sebagai ruang untuk anak muda mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

"Alhamdulillah saya melihat bahawa usaha kerajaan negeri telah disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk menjadikan Jempol sebagai bandar permotoran di Negeri Sembilan.

"Saya yakin satu masa nanti bandar Jempol ini juga akan dikenali di seluruh Malaysia sebagai tempat bagi tumpuan mereka yang minat dalam sukan permotoran.

"Jadi, saya mengharapkan dengan kejohanan pada hari ini, yang mendapat sambutan sangat baik, kita akan akan berjaya ke arah melahirkan jaguh-jaguh dalam sukan motocross yang akan mewakili Malaysia," kata Mohamad Taufek ketika ditemui dalam program Myfit Motorsports di sini.

Kejohanan motocross peringkat zon selatan itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan Kementerian Belia dan Sukan negeri.

Objektif kejohanan ialah memberi pendedahan kepada golongan belia yang berpotensi dijadikan sebagai pelumba.

Selaras hasrat menerapkan gaya hidup sihat, sukan permotoran boleh memberi impak positif dan membanteras gejala lumba haram.

Pemenang kategori Expert, Mohamad Faiz Embok Chening berharap agar perlumbaan seperti itu dapat dianjurkan lagi.

"Saya harap acara ini dapat dianjurkan setiap tahun. Terima kasih kepada KBS dapat anjurkan perlumbaan motocross ni. Saya harap lebih ramai lagi pelumba datang untuk menyertai sukan permotoran ini," kata Mohamad Faiz.

(Penganjuran program seumpama itu dapat menjadi platform untuk melahirkan bakat baharu
dalam sukan permotoran)

 

Media Baharu