fb fb fb fb fb

Menteri kecam ucapan perkauman bekas pemain BAM

(Tangkap layar permohonan maaf Bong Guang Yik)

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya tindakan bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Bong Guang Yik yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan, serta menjadi satu masalah di Malaysia.

"Saya sudah semak dengan @MSNMALAYSIA @BA_Malaysia, beliau bukan lagi atlet negara dan adalah bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 (9 tahun yang lalu) dan kini tidak menetap di Malaysia.

"Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau (Guang Yik) dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau sudah meminta maaf.

"Saya ulangi pendirian - sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik. Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing," katanya menerusi perkongsian di Facebook rasmi.

Dalam video tular itu, Guang Yik mendakwa pihak pengurusan BAM yang majoritinya orang Melayu menjadi punca kejatuhan prestasi sukan badminton negara.

Katanya, orang Melayu tidak menguruskannya dengan sempurna lebih-lebih lagi kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan setiap kali waktu solat.

BAM dalam kenyataannya pula menggesa Persatuan Badminton China (CBA) mengambil tindakan ke atas Guang Yik yang kini berkhidmat sebagai jurulatih di negara itu susulan video tular terbabit.

BAM turut akan menghantar aduan rasmi kepada CBA untuk tindakan lanjut.

"BAM benar-benar terkejut dan akan memanjangkan isu itu termasuk menghantar aduan rasmi kepada CBA.

"Individu rasis seperti itu tidak sepatutnya diambil sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari jutaan peminat yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Semua ahli gabungan BAM tidak akan menerima individu berkenaan daripada terbabit dalam sukan badminton di Malaysia.

Pada masa sama, isu tersebut turut mendapat perhatian bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau menegaskan bahawa sukan menjunjung rasa hormat dan tidak menerima individu yang rasis.

"Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang keeratan bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad.

"Anggaplah dia sebiji epal busuk, kawan-kawan," katanya menerusi Facebook rasmi.

 (Tangkap layar video tular Bong Guang Yik)

Media Baharu