fb fb fb fb fb

Bukan hanya permohonan maaf sahaja, tindakan harus dikenakan

(Tangkap layar video tular Bong Guang Yik)

KUALA LUMPUR, 13 Februari - Tindakan yang dilakukan oleh bekas pemain badminton pelapis percubaan negara, Bong Guang Yik mengatakan solat lima waktu punca industri badminton Malaysia mundur mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Malah, sukan di Malaysia sepatutnya perlu bebas daripada sebarang unsur berbaur perkauman mahu pun politik.

Menurut Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, mana-mana rakyat Malaysia yang membangkitkan isu itu seharusnya dikenakan tindakan walaupun beliau tidak menetap di Malaysia lagi.


(Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli)

"Bukan hanya dengan permohonan maaf sahaja, itu tidak cukup. Isu ini telah menguris hati rakyat Malaysia. Pihak kerajaan harus mengenakan tindakan dan berhubung dengan kerajaan negara China supaya individu berkenaan tidak terlepas dengan tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi oleh wartawan RTM.

Tambahnya lagi, permohonan maaf itu tanpa ada sebarang tindakan undang-undang adalah tidak adil dengan apa yang dikenakan ke atas orang lain.

Manakala bagi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menegaskan tidak sepatutnya beliau mengeluarkan kata-kata seperti itu seolah-oleh tidak pernah menetap di Malaysia.


(Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed)

"Mungkin dia sudah lupa budaya masyarakat di Malaysia, kerana Guang Yik sendiri tidak menetap lagi di sini lagi. Kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau sangat sensitif, Malaysia mempunyai berbilang kaum, agama dan bangsa.

"Jadi dengan dakwaan bahawa prestasi pemain negara merudum pada Terbuka Malaysia 2023 kerana BAM diuruskan oleh pemimpin Melayu, ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam, dan sukan di Malaysia tidak dimonopoli oleh sesuatu bangsa," katanya ketika dihubungi oleh wartawan.

Ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan, sekali gus bukan satu masalah di Malaysia

Tambahnya lagi, suatu ketika dahulu, adik beradik Datuk Abdul Rashid (Rashid Sidek) telah banyak memenangi di pentas dunia untuk sukan badminton, jadi ini tidak boleh dikaitkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Guang Yik tersebut iaitu pengurusan badminton yang lemah jika melayu mengurus persatuan badminton dengan dikaitkan waktu solat lima kali sehari.

Walaupun Guang Yik sudah membuat permohonan maaf, ramai pihak meminta agar beliau dikenakan hukuman sepatutnya dengan perbuatan yang telah dilakukan dan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

Media Baharu