fb fb fb fb fb

Tiada erti sesal-Pep Guardiola

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola /Foto REUTERS

MANCHESTER, 15 Disember-Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa dia tidak pernah sesal dengan keputusannya untuk menyambung kontrak bersama kelab berkenaan di sebalik prestasi bergelut yang ditunjukkan Manchester City ketika ini.

Manchester City hanya memenangi satu daripada enam perlawanan pada seluruh pertandingan musim ini sejak Guardiola melanjutkan kontrak untuk melatih kelab berkenaan selama dua musim.

Pelanjutan kontrak tersebut menyaksikan Guardiola akan bersama skuad 'The Citizien' itu sehingga 2027.

Setelah mempamerkan persembahan mengecewakan dalam Liga Perdana Inggeris, juara bertahan kini menduduki tempat kelima dengan 27 mata, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Mereka juga telah tersingkir daripada saingan Piala FA dan menduduki tempat ke-22 dalam jadual Liga Juara Eropah selepas tewas 2-0 kepada Juventus, yang menyaksikan hanya 24 pasukan teratas akan terselamat daripada penyingkiran.

Pengurus pasukan, Pep Guardiola, mengakui prestasi buruk pasukannya baru-baru ini telah menjejaskan tidur dan dietnya.

Namun beliau menegaskan tidak menyesal melanjutkan kontraknya bersama kelab tersebut.

"Sudah tentu tidak," kata Guardiola apabila ditanya sama ada beliau menyesal dengan komitmennya kepada kelab itu.

"Saya tidak akan dapat tidur, dan ia lebih buruk daripada sekarang jika saya fikir untuk pergi, ketika kelab berada dalam situasi ini.

"Mustahil. Mereka mungkin memecat saya, itu boleh berlaku. Tetapi untuk meninggalkan kelab sekarang, dalam kedudukan ini? Tiada peluang", katanya.

Guardiola menyertai kelab milik Abu Dhabi itu pada 2016 dari Bayern Munich dan telah membimbing mereka memenangi 18 trofi utama.

Selepas mencatat sejarah dengan meraih Treble, termasuk trofi Liga Juara-Juara Eropah yang telah lama dinanti-nantikan pada 2023, Guardiola menganggap legasinya di kelab itu sudah kukuh.

"Apa yang telah kami capai, telah kami capai. Kepuasan melakukannya sudah selesai. Ia sudah tercapai," kata pengurus kelahiran Sepanyol itu. "Cara kami bermain, angka-angka, semuanya. Itu akan kekal selamanya."

"Namun, dalam situasi ini, saya tidak boleh meninggalkan pasukan. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Tiada apa yang kekal abadi. Anda perlu jujur. Jika saya terus kalah dan kalah, akhirnya saya akan berkata, 'kawan-kawan, anda perlu cari seseorang lain untuk memperbaiki keadaan ini", jelasnya.-REUTERS.

"Tetapi saya tidak merasakan itu. Saya tidak pasti di kelab besar lain, jika anda kalah tujuh daripada 10 perlawanan, sama ada mereka akan menunjukkan kepercayaan seperti yang kelab ini tunjukkan kepada saya. Tetapi kelab ini tahu apa yang telah kami capai sebelum ini, dan bahawa situasi sekarang adalah luar biasa atas pelbagai sebab," jelasnya.

Guardiola terus mengekalkan sikap optimis, bertekad untuk membawa pasukannya kembali ke puncak bola sepak dunia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD