HONG KONG, 15 Disember-Skuad Skuasy wanita kebangsaan membawa pulang pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia 2024 di sini pada Sabtu.
Pemain No. 17 dunia, Rachel Arnold yang turun membuka gelanggang untuk Malaysia berjaya beri tekanan kepada Amanda Sobhy untuk bertarung hingga ke set penentuan sebelum tumpas 9-11, 11-7, 9-11, 11-5 dan 8-11.
Kekalahan itu menyaksikan pemain No.10 dunia, S. Sivasangari menggalas tanggungjawab berat untuk mengikat kedudukan namun dia gagal menjinakkan Olivia Weaver dengan kekalahan 11-7, 11-9, 5-11, 2-11 dan 2-11.
Keputusan itu bermakna Aira Azman yang dijadual beraksi sebagai perseorangan ketiga tidak diturunkan.
Pencapaian terbaik pasukan skuasy wanita negara adalah pada edisi 2014 di Kanada apabila muncul naib juara selepas tewas kepada England di final.