BANGKOK, 15 Disember - Malaysia berdepan cabaran sukar ke separuh akhir selepas tewas 1-0 kepada juara bertahan, Thailand dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Rajamangala, malam tadi.
Harimau Malaya dipaksa banyak bertahan sepanjang separuh masa pertama apabila Thailand melancarkan serangan berbahaya.
Bagaimanapun, anak buah Pau Marti Vincente gagal mencipta peluang bermakna dan hanya sekali-sekala memasuki kawasan kotak penalti lawan.
Penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Endrick Dos Santos Parafita tidak dapat memberikan ancaman kepada penjaga gol Thailand, dimana akhirnya Thailand memecahkan kebuntuan pada minit ke-57.
Kesilapan hantaran penjaga gol Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli, memberikan peluang kepada Suphanat Mueanta untuk mengumpan Patrik Gustavsson.
Penyerang muda kelahiran Sweden itu tidak mensia-siakan peluang, menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Malaysia cuba bangkit mencari gol penyamaan selepas ketinggalan 0-1, namun gagal menemui jalan untuk merobek gawang Thailand.
Thailand kini menungguli Kumpulan A dengan enam mata, diikuti Singapura yang juga mengumpul enam mata selepas menewaskan Timor Leste 3-0.
Malaysia di tangga ketiga dengan empat mata.
Malaysia kini wajib menang menentang Singapura pada 20 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memastikan tempat ke separuh akhir, memandangkan hanya juara dan naib juara kumpulan akan mara.