LABUAN, 14 Disember- Pasukan Labuan muncul juara selepas menewaskan pasukan Sabah pada Kejohanan Golf MADANI yang berlangsung di Labuan Internatinal Golf Club (LIGC).
Pasukan Labuan diketuai oleh Ahli Parlimen Labuan, Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman, manakala pasukan Sabah diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Surveyor Sapar Untung.
Pengerusi penganjur, Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman berkata, kejohanan itu julung kali diadakan bertujuan memupuk perpaduan dan mengeratkan silaturahim antara pemain.
Beliau berkata, sukan golf bukan sahaja disertai oleh golongan elit, namun sukan itu juga berpeluang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Ini adalah pertandingan yang pertama. Pasukan daripada Sabah memberikan komitmen bahawa ini akan kita jadikan pertandingan setiap dua bulan sekali.
"Saya rasa ini adalah yang terbaik kerana ia sekali gus dapat mempromosikan Labuan dalam kalangan kakitangan-kakitangan, pegawai awam tertinggi", katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan itu.
Kejohanan itu melibatkan Pasukan Labuan dan Sabah yang disertai seramai 64 pemain membabitkan pemimpin masyarakat dan ketua agensi dan jabatan.