CHENGDU, 26 Julai — Larian obor bagi edisi ke-12 The World Games (TWG) bermula dengan penuh meriah pada Sabtu di Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan di barat daya China.
Ia menandakan acara larian obor diadakan buat kali pertama dalam sejarah temasya sukan ini.
Larian obor itu akan meliputi Chengdu dan dua bandar berdekatan, Deyang dan Meishan, dengan jarak keseluruhan 11 kilometer, membabitkan 120 pembawa obor.
Upacara penyalaan obor diadakan di Muzium Sanxingdui, Deyang sebagai simbol pelancaran rasmi acara tersebut. Muzium berkenaan juga menjadi lokasi pertama dalam laluan larian obor.
Obor kemudiannya akan dibawa ke lima lokasi bersejarah dan pelancongan utama, iaitu Muzium Tapak Jinsha Chengdu, Pusat Pembiakan Panda Gergasi Chengdu, Muzium Kuil Wuhou Chengdu, Muzium Kuil San Su Meishan dan Taman Wetland Tasik Xinglong Chengdu.
Temasya TWG kali ini akan berlangsung dari 7 hingga 17 Ogos 2025 dan akan mempertandingkan 34 jenis sukan meliputi 60 disiplin.
Berbeza dengan Sukan Olimpik yang menekankan aspek kompetitif, The World Games dianjurkan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) setiap empat tahun, kebiasaannya setahun selepas Sukan Olimpik.
Ia memberi tumpuan kepada sukan-sukan bukan Olimpik dan menekankan kepelbagaian, keseronokan, penyertaan serta nilai hiburan dalam sukan. -REUTERS