fb fb fb fb fb

Dana Amanah Sukan Negara bakal kurangkan kebergantungan kepada kerajaan -Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Julai- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mewujudkan Dana Amanah Sukan Negara.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata perkara berkenaan merupakan satu usaha yang baik untuk mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.

"Saya lihat Majlis Olimpik Malaysia mempunyai perancangan tersendiri, dan itu satu perkara yang baik. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, persatuan-persatuan sukan perlu ada inisiatif sendiri untuk mencari dana dan tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan.

"Dari pihak kerajaan pula, kita sudah mempunyai Tabung Pembangunan Kawasan, dan kita juga telah mula melihat penglibatan sektor swasta. Chery Malaysia merupakan syarikat pertama yang tampil, dengan sumbangan dana permulaan sebanyak RM50,000", katanya selepas merasmikan Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hannah turut menyatakan rasa bangga terhadap prestasi beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, yang semakin konsisten.

"Saya berharap kini Pearly dan Thinaah boleh memberi tumpuan sepenuhnya, tanpa sebarang isu lagi. Segala perkara yang timbul sebelum ini telah selesai. Saya juga yakin dengan sokongan semua jurulatih baharu dalam BAM, mereka akan mampu mara lebih jauh.

"Hasrat kita adalah supaya setiap kali mereka layak ke final, ranking mereka akan terus meningkat. Diharapkan menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti, Pearly dan Thinaah bersedia sepenuhnya," katanya. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD