CHICAGO, 26 Julai — Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, menyatakan kegembiraannya terhadap dua pemain baharu pasukan, Matheus Cunha dan Bryan Mbuemo, yang disifatkannya sebagai tambahan penting kepada jentera serangan kelab.
Bercakap kepada media di Chicago menjelang perlawanan persahabatan menentang West Ham United, Amorim berkata kedua-dua pemain membawa fleksibiliti dan pengalaman yang diperlukan untuk memperkukuh skuad musim ini.
"Saya sangat teruja melihat kesungguhan mereka menyertai kami walaupun kami tidak beraksi dalam saingan Eropah musim ini. Mereka menolak tawaran daripada kelab-kelab yang bermain di Liga Juara-Juara dan itu menunjukkan komitmen mereka kepada United," katanya.
Cunha pula mendedahkan bahawa dia telah menyokong Manchester United sejak kecil dan bermotivasi untuk menyertai kelab itu selepas pertemuan dengan Amorim yang begitu bersemangat mengenai masa depan kelab.
Dalam pada itu, Amorim menegaskan bahawa ikatan pasukan adalah elemen penting untuk membina kejayaan.
"Kejayaan bermula dengan kekuatan dalaman pasukan. Jika pemain bersatu, kita boleh capai lebih banyak kejayaan," tambahnya.
Mengulas mengenai pemain sedia ada yang berhasrat meninggalkan kelab, Amorim menjelaskan bahawa kelab tidak akan menjual mereka dengan harga murah.
"Jika mereka kekal, ia memberikan saya cabaran positif. Saingan merebut tempat dalam kesebelasan utama hanya akan meningkatkan prestasi pasukan," katanya.
Manchester United mengakhiri musim lalu di kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris dengan hanya 42 mata, kempen yang mengecewakan dan membawa kepada rombakan besar-besaran menjelang musim baharu. -REUTERS