SINGAPURA, 26 Julai - Pengurus Newcastle United, Eddie Howe yakin penyerang utama pasukannya, Alexander Isak, akan kekal bersama kelab itu bagi menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris meskipun dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool.
Dalam sidang media praperlawanan di Singapura menjelang aksi persahabatan menentang Arsenal pada Ahad, Howe menjelaskan bahawa tiada sebarang perkembangan baharu mengenai masa depan pemain antarabangsa Sweden itu.
“Saya yakin Isak akan kekal. Saya tidak nampak apa-apa yang boleh mengubah pandangan saya buat masa ini. Tapi ini bola sepak, dan kita tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.
Isak, yang meledak 23 gol liga musim lalu, dilihat sebagai tonggak utama serangan Newcastle. Ketiadaannya dalam aksi persahabatan menentang Celtic baru-baru ini mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin bakal meninggalkan kelab tersebut.
Mengulas lanjut, Howe menegaskan bahawa tiada rundingan kontrak baharu sedang berlangsung ketika ini.
“Setakat yang saya tahu, tiada sebarang perbincangan kontrak sekarang. Mungkin ia akan dibincangkan pada masa akan datang. Buat masa ini, fokus kami adalah kepada jendela perpindahan yang masih terbuka,” tambah beliau.
Newcastle bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dan Howe menyedari keperluan untuk memperkukuhkan skuadnya.
“Kami aktif di pasaran pemain. Kami perlu membawa masuk pemain baharu kerana dengan jadual padat musim ini, kami perlukan pilihan dan kemantapan skuad,” jelasnya.
Newcastle United akan menentang Arsenal dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Singapura pada Ahad, 27 Julai. -REUTERS