fb fb fb fb fb

Kejohanan Akuatik Dunia: Marchand azam pecah rekod dunia Lochte

Perenang sensasi Perancis, Leon Marchand/ Foto REUTERS

SINGAPURA, 26 Julai – Perenang sensasi Perancis, Leon Marchand, menyatakan hasratnya untuk memecahkan rekod dunia 200 meter rampaian individu milik Ryan Lochte yang bertahan selama 14 tahun apabila Kejohanan Dunia bermula di Singapura, esok.

Marchand, 23, yang mengungguli temasya Olimpik Paris tahun lalu dengan empat pingat emas dalam acara 200 meter dan 400 meter rampaian individu, 200 meter kuak lentang serta kuak dada, memilih untuk tidak menyertai dua acara terakhir di kejohanan kali ini.

“Saya anggap ini tahun peralihan, jadi saya mahu jadual yang lebih ringan daripada biasa. Saya mahu beri tumpuan kepada acara 200 meter dan 400 meter rampaian individu serta acara berganti-ganti bersama pasukan Perancis,” katanya dalam sidang media, pada Sabtu.

Keputusan itu bagi membantunya mendapat rehat secukupnya untuk mencabar rekod dunia 200 meter rampaian individu yang kini masih dipegang legenda Amerika Syarikat, Ryan Lochte, sejak Julai 2011 dengan catatan 1 minit 54.00 saat.

“Saya teruja untuk lihat sejauh mana kemampuan saya apabila jadual lebih ringan. Sudah tentu, saya mahu pecahkan rekod dunia dalam beberapa tahun akan datang. Bila masanya? Saya belum pasti. Tapi saya masih ada banyak yang ingin dicapai dalam dunia renang,” tambah Marchand, yang juga pemegang rekod dunia bagi acara 400 meter rampaian individu.

Beliau pernah mencatat masa hanya enam peratus saat lebih perlahan daripada rekod Lochte semasa memenangi pingat emas di Olimpik lalu. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN