fb fb fb fb fb

Terbuka China: Pearly-Thinaah terus kempunan

Pasangan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah/Foto BAM

CHANGZHOU, 26 Julai - Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 tidak kesampaian selepas tewas di peringkat separuh akhir, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di sini, pasangan ranking ketiga dunia itu tewas straight set 14-21, 17-21 kepada wakil tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam masa 38 minit.

Kekalahan itu menyaksikan mereka terus kempunan untuk menamatkan badi ke atas gandingan China tersebut, selepas tewas empat kali dalam lima pertemuan sebelum ini.

Sementara itu, Yi Fan-Shu Xian akan berentap dalam aksi esok menentang sama ada rakan senegara, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.

Satu-satunya wakil Malaysia yang masih meneruskan saingan ialah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang akan menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chiraq Shetty dalam aksi separuh akhir petang ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD