fb fb fb fb fb

KBS komited perkasa sukan tempur negara

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Kira-kira lebih 2,000 atlet dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Kejohanan berkenaan mempertandingkan lima disiplin utama, iaitu silat, wushu, karate, muay thai dan gusti.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata kejohanan berkenaan menjadi platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu serta menilai prestasi atlet bagi mewakili negara ke temasya antarabangsa seperti Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan Sukan Asia.

"Sukan tempur merupakan salah satu fokus utama dalam sukan Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, atlet sukan tempur sering membawa pulang pingat dalam temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia. Ini menunjukkan kelebihan yang dimiliki, hasil daripada keunikan setiap kaum di Malaysia.

"Melalui keunikan budaya dan sukan warisan seperti silat, kita dapat menarik minat kanak-kanak untuk menyertainya, dengan sokongan ibu bapa satu elemen yang amat penting dalam pembangunan bakat," katanya selepas merasmikan Kejohanan berkenaan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada penganjuran kejohanan sukan tempur di semua peringkat menerusi geran padanan dan Dana Sukan Komuniti bagi memastikan atlet memperoleh peluang berlatih serta bertanding secara konsisten.

Pada kejohanan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS)  turut memperuntukkan sebanyak RM100,000 dengan agihan RM20,000 kepada lima persatuan sukan tempur yang mengambil bahagian.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah berkata persiapan ke Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand pada Disember ini diteruskan seperti biasa meskipun berlaku ketegangan antara Thailand dan Kemboja.

"Kami sememangnya bimbang dengan perkembangan ini, namun kami yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melakukan yang terbaik untuk berbincang dengan kedua-dua negara bagi meredakan keadaan.

"Sudah tentu, kami amat mengharapkan keamanan di rantau ini. Dengan temasya Sukan SEA yang bakal berlangsung pada bulan Disember, kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan secara baik.

"Buat masa ini, tiada apa yang berubah, tetapi kita perlu lihat bagaimana keadaan akan berkembang. Persiapan semuanya tetap diteruskan, " katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD