fb fb fb fb fb

TFC akhiri kemarau kemenangan

FOTO TERENGGANU FC

KUALA NERUS, 2 November- Selepas gagal melakarkan sebarang kemenangan dalam lapan aksi perlawanan berturut-turut termasuk dalam perlawanan antara kelab Asia Tenggara merebut Piala Shopee, Terengganu FC-TFC akhirnya berjaya menamatkan badi kemarau malam tadi.

Kemenangan diperoleh selepas menumpaskan Penang FC, 1-0 pada persaingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
 
Turun selaku pasukan tuan rumah, gol tunggal perlawanan tersebut disumbangkan  pemain pertahanan, Muhammad Ubaidullah pada minit ke-27.
 
Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang seorang lagi pemain pertahanan TFC Muhammad Azam Azmi Murad ke dalam kotak penalti Penang FC sebelum Muhammad Ubaidullah bijak menanduk masuk menerjah jaring gol  menewaskan penjaga gawang Harimau Kumbang, Shafiq Afifi Suhaimi.
 
Terdahulu skuad bimbingan ketua jurulatih baharu, Badrul Afzan Razal itu telah melakukan rombakan dalam kesebelasan utamanya  dengan menyenaraikan Rahadiazli Rahalim sebagai penjaga gol selain merehatkan dua pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim JDT, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
 
Sementara itu pelawat yang sesekali melancarkan serangan hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nabil Ahmad Latpi selepas lolos dari kawalan pertahanan tuan rumah, namun sepakannya pada minit ke-41 berjaya diselamatkan Rahadiazli.
 
Pada babak kedua, Safawi, Akhyar dan Muhammad Afif Zakaria dimasukkan bagi menggantikan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, Mohd Nor Hakim Hassan dan Safwan Mazlan, namun trio itu dilihat  gagal menemui penyudah.
 
Bagaimanapun kemenangan tipis itu melegakan kem Skuad Penyu untuk meraih tiga mata berharga, sekali gus mengekalkan kedudukan ditempat keempat liga, dengan 21 mata hasil 14 perlawanan.    

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE