fb fb fb fb fb

TFC II tewas dalam aksi persahabatan pertama dengan KDA FC

FOTO TERENGGANU FC II

KUALA TERENGGANU, 18 April- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selaku pasukan jemputan perlawanan persahabatan pra musim Liga Malaysia 2024 meraih kemenangan tipis berkesudahan 1-0 ke atas pasukan tuan rumah Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 15 minit pertama permainan menyaksikan kedua-dua pasukan saling membalas serangan bagi mencari rentak penguasaan padang.

Namun kecuaian barisan pertahanan TFC II memberi ruang kepada pemain sayap Fayadh Zulkifli dengan mudah untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah untuk meraih gol pertama milik KDA FC pada minit ke-17 permainan separuh masa pertama.

Gol pertama yang memberi sokongan moral kepada pasukan jemputan kendalian Nafuzi Zain kian garang untuk mendominasi beberapa cubaan gol namun gagal untuk menambah jumlah jaringan.

Cubaan pertama TFC II untuk membolosi gawang KDA FC hadir pada minit ke-32 permainan separuh masa pertama namun gagal untuk disempurnakan oleh Aqil Idham Bahari setelah tendangan bolanya tersasar ke luar padang sekaligus gagal merapatkan jurang gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, tiada sebarang jaringan tambahan yang berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan menyaksikan kemenangan milik KDA FC.

Seterusnya bagi aksi kedua perlawanan persahabatan empat penjuru ini, KDA FC dijadualkan untuk beraksi dalam perlawanan tumpuan menentang TFC pada Jumaat ini bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Manakala TFC II dijadualkan untuk bertemu Penang FC pada hari yang sama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE