MURCIA, 18 April- Persiapan Johor Darul Ta'zim (JDT) kini semakin hebat menjelang sepak mula Liga Malaysia pada Mei ini.
Terbaharu, kelab itu memulakan siri jelajah pramusim di Sepanyol dengan kemenangan bergaya selepas menewaskan Real Murcia 3-0.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nueva Condomina itu, menyaksikan JDT hanya memerlukan tiga minit untuk berada di depan hasil jaringan Jalil Elias.
Jentera serangan skuad Harimau Selatan terus membuktikan kemampuan apabila penyerang Arif Aiman Hanapi tidak berdepan masalah meledak gol kedua JDT pada minit ke-14.
Pemain import, Francisco Geraldes melengkapkan kemenangan JDT dengan gol ketiga pada minit ke-72.
Aksi pramusim tersebut adalah sebahagian persiapan JDT bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.