KUALA NERUS, 18 April -Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui pasukannya masih memburu seorang lagi pemain import untuk memperkuat pasukan itu menjelang sepak mula Liga Super Malaysia musim ini.
Menurut bekas penyerang kebangsaan itu kehadiran pemain tersebut penting bagi mengisi posisi tengah menyerang yang sesuai bagi membantu menghasilkan gol.
Bagaimanapun, Akmal Rizal memaklumkan sudah memiliki calon yang layak mengisi bahagian berkenaan yang dikatakan berasal dari Amerika Latin.
Jelas Akmal, pihaknya kini hanya menunggu lampu hijau daripada pihak pengurusan untuk menyenaraikan pemain berkenaan.
"Dalam pada masa yang sama, mungkin esok pihak pengurusan akan bermesyuarat sama ada saya boleh membawa seorang lagi pemain utama di bahagian tengah menyerang.
"Calon kuota bebas sudah ada. saya harap perkara ini dapat direalisasikan untuk kita tambah kekuatan di bahagian serangan",kata Akmal demikian selepas perlawanan Kejohanan Empat Penjuru Pra Musim menentang Terengganu FC-TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, pada Rabu
Pada perlawanan tersebut skuadnya tewas tipis 0-1, hasil jaringan pemain tuan rumah Ismaheel Akinade pada minit ke-68.
Menurut Akmal Rizal lagi, kesebelasan utama yang bakal membarisi skuad harimau Kumbang pada musim ini juga belum diputuskan serta masih terbuka kepada semua termasuk pemain muda.:
Musim ini, Penang FC menyasarkan kedudukan terbaik dalam liga Super dan telah mengikat empat tonggak import iaitu Moon Gun Young, Rodrigo Dias, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan oleh Selangor FC selama semusim.