fb fb fb fb fb

Tewaskan idola, Izz Naqiuddin rangkul gelaran Boling Terbuka Masters Kuala Lumpur 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Atlet boling muda negara, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, melakar kejutan manis apabila menewaskan barisan pemain senior, termasuk idolanya, untuk merangkul gelaran juara Final Terbuka Masters di Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur 2025 hari ini.

Beraksi penuh yakin di Sunway Megalanes, pemain berusia 21 tahun itu mencatat 1,993 jatuhan pin, sekali gus mengetepikan Ahmad Azriq Izam dan Ahmad Aidil Abdul Halimdi, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Namun yang paling membanggakan, kejayaan beliau mengatasi juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail, yang menamatkan saingan di kedudukan ke-16.

"Saya hanya fokus dengan permainan saya dan menggunakan lane yang sama. Saya hanya fokus dan gembira kerana berjaya mengatasi idola saya kali ini," katanya selepas menamatkan perlawanan akhir.

Ia merupakan gelaran ketiga dalam kariernya selepas memenangi Terbuka Pulau Pinang 2023 dan Singapura 2024 sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pemain pelapis utama negara.

Sementara itu, dalam saingan wanita, Nur Syazwani Sahar dinobatkan sebagai pemain terbaik selepas mencatat 1,776 jatuhan pin, meskipun berdepan cabaran ‘bad pair’ dalam lima permainan awal.

"Saya bangga dengan pencapaian saya hari ini kerana pada perlawanan pertama saya berjaya kumpul 300 mata sempurna tapi perlawanan seterusnya ada 'Bad Pair' jadi saya agak lambat untuk buat perubahan untuk kembalikan mata tertinggi saya," katanya.

Kini, Syazwani bersedia membawa cabaran negara ke Terbuka Singapura, dengan sasaran menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN