DURIAN TUNGGAL, 1 Jun - Malaysia buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah untuk Festival Memanah Tradisional Antarabangsa Malaysia (MITAF) 2025.
Presiden Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM), Zainurin Osman berkata, sebanyak 15 negara dijangka menyertai festival yang bakal berlangsung Oktober depan, melibatkan lebih 2,000 peserta.
Negara-negara yang turut serta termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Mongolia, Australia dan Kazakhstan.
"3 lelaki dan 3 wanita serta pemain cilik yang telah menang hari ini akan mewakili Malaysia ke kejohanan tersebut."
"Kejohanan itu akan berlangsung selama empat hari, untuk kategori dewasa dua hari, hari ketiga untuk peserta cilik dan remaja manakala hari keempat adalah pusingan kalah mati," katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 di Kompleks Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal.
Tambahnya lagi, kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi medan pertandingan tetapi juga menjadi platform untuk memelihara serta mengembangkan keindahan seni memanah tradisional.