fb fb fb fb fb

Tersingkir Piala Dunia Kelab, Botafogo pecat Renato Paiva

Renato Paiva, dipecat hanya selepas empat bulan menerajui Botafogo, susulan penyingkiran pasukan itu di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab / REUTERS

RIO DE JANEIRO, 1 Julai- Kelab Brazil, Botafogo, mengumumkan pemecatan pengendali pasukannya, Renato Paiva, hanya selepas empat bulan menerajui skuad itu, susulan penyingkiran mereka di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab.

Keputusan drastik itu diambil walaupun Paiva membawa Botafogo mencipta kejutan dengan menewaskan juara Liga Juara-Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG), 1-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Botafogo disingkirkan rakan sekelab dari Brazil, Palmeiras, selepas tewas tipis 0-1 dalam masa tambahan, sekali gus menamatkan kempen mereka di kejohanan itu.

Dalam kenyataan di media sosial rasmi kelab, Botafogo merakamkan penghargaan kepada Paiva dan barisan kejurulatihannya atas khidmat mereka sepanjang beberapa bulan lalu.

"Kami berterima kasih kepada Paiva dan para pembantunya atas sumbangan mereka, khususnya kemenangan bersejarah menentang Paris Saint-Germain di Piala Dunia Kelab, serta kejayaan layak ke pusingan 16 Copa Libertadores dan Copa do Brasil," menurut kenyataan itu.

Paiva ketika ditemui media menyatakan rasa terkejut dengan keputusan pengurusan kelab.

"Saya tidak mahu mengulas panjang ketika ini, akan ada masa yang sesuai nanti. Apa yang boleh saya katakan, saya sangat terkejut. Seluruh staf dan pemain juga tergamam dengan keputusan ini," katanya kepada Globo Esporte.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE