ORLANDO, 1 Julai- Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal mencipta kejutan besar dalam saingan Piala Dunia Kelab apabila menewaskan Manchester City 4-3 dalam masa tambahan pada aksi dramatik yang berlangsung di Orlando, awal pagi tadi.
Perlawanan penuh mendebarkan itu menyaksikan Marcos Leonardo muncul wira Al-Hilal apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-113, gol kedua peribadinya malam itu sekali gus menyingkirkan juara Liga Perdana Inggeris dari saingan.
City bermula garang apabila Bernardo Silva membuka jaringan seawal minit ke-9, namun Al-Hilal bangkit pantas sebaik separuh masa kedua bermula. Gol daripada Marcos Leonardo dan Malcom dalam tempoh enam minit meletakkan kelab berpangkalan di Riyadh itu di depan.
Bagaimanapun, Erling Haaland menyamakan kedudukan pada minit ke-55 untuk menghidupkan semula peluang City.
Saingan bersambung ke masa tambahan dan pada minit ke-94, Kalidou Koulibaly menanduk masuk sepakan sudut Ruben Neves untuk kembali meletakkan Al-Hilal di hadapan.
City enggan mengalah apabila Phil Foden menyamakan kedudukan sekali lagi, namun detik gemilang milik Al-Hilal apabila Leonardo meledak gol kemenangan tujuh minit sebelum masa tambahan tamat.
Kemenangan bersejarah itu menyaksikan Al-Hilal mara ke suku akhir dan bakal berdepan wakil Brazil, Fluminense dalam pertemuan yang dijangka sengit.- REUTERS