KUALA LUMPUR, 1 Julai- “Saya sangat gembira dapat kembali ke BAM, kali ini bukan sebagai pemain, tetapi sebagai jurulatih yang bersedia untuk menyumbang semula kepada sukan ini.”
Demikian keterujaan bekas perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang bakal memulakan tugas secara rasmi sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan bermula 1 Oktober ini.
Iskandar, menerusi satu kenyataan oleh BAM memaklumkan, pengalaman melatih skuad kebangsaan Ireland sejak 2022 banyak memberikan ilmu serta perspektif baharu yang kini bersedia diterapkan kepada pemain pelapis negara.
“Saya nampak potensi besar dalam kalangan pemain perseorangan wanita kita. Fokus saya adalah membina keyakinan, memperkemas aspek taktikal dan fizikal mereka agar mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.”
“Saya juga amat menghargai kepercayaan yang diberikan BAM untuk menyumbang semula kepada sukan yang saya cintai, di tempat asal perjalanan saya bermula,” katanya.
Pelantikan Iskandar diumumkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam satu sidang media yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
“Iskandar Zulkarnain akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Oktober ini. Rundingan telah dijalankan dan dimuktamadkan minggu lepas. Beliau kini bersedia pulang dari Ireland,” jelas Tengku Zafrul.
Terdahulu, media melaporkan BAM telah menawarkan Iskandar tempat dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, namun ketika itu beliau masih belum dimaklumkan mengenai jawatan yang akan disandang.
Iskandar, 33 tahun, yang pernah muncul naib juara Masters Malaysia 2016, memulakan kerjaya kejurulatihan sepenuh masa bersama skuad kebangsaan Ireland pada tahun 2022.
Sepanjang tempoh itu, beliau berjaya membimbing pemain perseorangan lelaki utama negara tersebut, Nhat Nguyen, untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum dilantik secara rasmi sebagai jurulatih di Ireland, Iskandar juga bertindak sebagai rakan sepelatih kepada Nguyen dalam beberapa persiapan menghadapi kejohanan utama.
Kepulangan beliau ke pangkuan BAM dilihat mampu memperkukuh barisan kejurulatihan negara, khususnya dalam memperkasa pembangunan bakat perseorangan wanita yang kini berada dalam fasa penting.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Kenneth Jonassen, turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Iskandar dalam menerajui hala tuju baharu skuad wanita negara.
“Kami berbesar hati menyambut kepulangan Iskandar ke BAM dalam peranan penting ini. Pengalaman kejurulatihan antarabangsa yang dimilikinya, digabungkan dengan latar belakang sebagai bekas pemain kebangsaan, memberikan nilai tambah dari segi perspektif dan kepakaran.”
“Skuad perseorangan wanita kini berada dalam fasa peralihan yang kritikal, dan kami percaya Iskandar adalah individu yang tepat untuk membimbing pemain-pemain, membina keyakinan dan ketahanan mental mereka sambil memastikan prestasi konsisten di pentas antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi.
Iskandar dijadualkan memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) PETRONAS bermula 1 Oktober 2025.